Menurut sebuah sumber, TikTok hampir mencapai kesepakatan untuk menjual operasinya di Amerika Syarikat dan akan mengumumkan keputusan perbincangan itu dalam masa beberapa hari akan datang.
Kevin Mayer, CEO TikTok, mengumumkan pengunduran dirinya pada hari ini setelah berita mengenai pengumuman itu dibocorkan kepada Financial Times. Mayer pada awalnya akan mengumumkan keputusan perletakan jawatannya bersama dengan perjanjian penjualan minggu depan, tetapi beliau memilih untuk menyampaikan berita tersebut dahulu. Untuk pengetahuan semua, Mayer berkhidmat dengan TikTok pada awal tahun ini setelah menjalankan operasi streaming video Disney.
Berikutan dengan perletakan jawatan tersebut, Vanessa Pappas yang merupakan ketua perniagaan TikTok Amerika Syarikat akan mengendalikan TikTok sebagai pengganti kepada Mayer.
Setakat ini, TikTok belum memutuskan pembeli dan masih berbincang berkenaan tawaran dari Oracle, Microsoft dan syarikat Amerika Syarikat yang ketiga. Pasti ramai yang tertanya-tanya, siapakah gerangan ketiga yang mahu merebut TikTok? Terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa Walmart telah bekerjasama dengan SoftBank untuk memdapatkan TiKTok, tetapi ianya belum dipastikan.
Walau bagaimanapun, jurucakap TikTok dan SoftBank enggan memberikan apa-apa maklum balas berkenaan isu tersebut begitu juga dengan jurucakap Walmart.
Tambahan daripada itu, terdapat kemungkinan bahawa TikTok akan menjual operasi di Amerika Syarikat., Kanada, Australia dan New Zealand dengan nilai dalam lingkungan $ 20 bilion hingga $ 30 bilion, tetapi harga masih belum diputuskan.