Dengan tercapainya kesepakatan dalam rundingan pelan dana pemulihan Eropah hari ini, kebanyakan matawang utama terus didagangkan tinggi berbanding US dolar sehingga ke sesi pasaran Eropah.
Kejayaan ini telah mendorong euro 0.2% lebih tinggi kepada $1.1470 berbanding US dolar, iaitu yang terkuat sejak 9 Mac sebelum kembali menyusut kerana ia sememangnya sudah dijangkakan sebelum ini menyebabkan pelabur menunjukkan reaksi ‘sell the fact, buy the rumour’.
Dalam pada itu, perkembangan positif mengenai usaha pembangunan vaksin Covid-19 juga membantu menyokong peningkatan dagangan matawang komoditi untuk diniagakan lebih tinggi berbanding USD.
Dolar Aussie menokok 0.5% kepada $0.7054 berbanding USD, sementara dolar kiwi pula naik 0.1% kepada $0.6585 diangkat oleh harapan bahawa vaksin Covid-19 mungkin dapat ditemui menjelang akhir tahun ini susulan perkembangan meyakinkan yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat pembuat vaksin setakat ini.
Selain itu, dagangan dolar loonie juga mempamerkan kenaikan berikutan sentimen semasa, dengan tumpuan pelabur kini beralih kepada penerbitan data jualan runcit Kanada pada malam ini.
Sementara itu, matawang pound juga meraih manfaat daripada laporan mengenai vaksin ini, selain turut disokong oleh kenyataan positif dalam perbincangan oleh ahli jawatankuasa mesyuarat Bank of England (BOE) yang menunjukkan bank pusat itu menolak kemungkinan pelaksanaan kadar faedah negatif.
Di sisi lain, dagangan logam berharga emas yang terus menembusi paras ketinggian terbaru dilihat tidak terkesan dengan perkembangan memberangsangkan mengenai vaksin Covid-19.
Emas terus memanjangkan pengukuhannnya ke tahap lebih tinggi pada $1,824 per auns pada sesi Eropah.