United Kingdom menjadi negara barat pertama yang mendapat kelulusan vaksin Covid-19, mendahului Amerika Syarikat dan Eropah selepas Agensi Pengawalseliaan Produk Perubatan dan Kesihatan (MHRA) meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech pada hari ini, setelah membuktikannya selamat untuk digunakan.
Menurut jurucakap dari Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial UK dalam satu kenyataan, vaksin tersebut dilaporkan akan tersedia untuk vaksinasi mulai minggu depan, di mana golongan tua dan kakitangan kesihatan diutamakan untuk menerima vaksin.
Pfizer sebelum ini mengumumkan bahawa analisis vaksin yang dikembangkan bersama BioNTech menunjukkan bahawa ia berkesan sebanyak 95% tanpa membawa masalah kesihatan.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla mengatakan bahawa kelulusan pertama ini adalah ‘saat bersejarah’ dan memuji MHRA atas kemampuan mereka untuk melakukan penilaian yang teliti dan mengambil tindakan tepat pada masanya untuk melindungi rakyat UK.
Pada bulan Julai, Pfizer dan BioNTech telah mengumumkan perjanjian dengan UK untuk memasukkan 30 juta dos vaksin berasaskan mRNA, setelah dibenarkan untuk penggunaan kecemasan.
Perjanjian itu kemudiannya ditingkatkan menjadi 40 juta dos pada awal Oktober. Oleh itu, UK akan mempunyai dos yang cukup untuk memvaksinasi sekitar satu pertiga daripada 66 juta penduduknya.