Berikut merupakan sebahagian data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Sentimen Ekonomi Jerman Tinjauan ZEW (Selasa 5.00 Petang): Data tinjauan ini akan memberi gambaran awal terhadap tahap kesihatan ekonomi di Eropah khususnya di Jerman sebagai ekonomi terbesar. Jangkaan angka bacaan yang menurun bakal menjejaskan prestasi pergerakan Euro di awal minggu.
Data Inflasi Jerman (Rabu 2.00 Petang): Bacaan akhir bagi indeks harga pengguna di Jerman dijangka untuk diterbitkan tidak berubah seperti bacaan awal pada 0.9%. Kadar inflasi di Jerman menunjukkan trend menaik sejak bacaan pada Mei.
Data Inflasi AS (Rabu 8.30 Malam): Menjadi tumpuan bank pusat, data inflasi Amerika Syarikat untuk bulan Julai diramalkan catat penurunan berikutan terkesan oleh peningkatan penularan Covid-19 pada gelombang terbaru. Kadar inflasi yang menurun akan memberi kesan penyusutan nilai US dolar dalam pasaran.
Data Keluaran Dalam Negara Kasar UK (Khamis 2.00 Petang): Bacaan awal bagi pertumbuhan KDNK UK untuk suku kedua tahun ini akan bakal memacu pergerakan Pound pada minggu ini. Ramalan peningkatan pada angka bacaan akan menambahkan keyakinan terhadap pelabur selepas langkah pembukaan semula ekonomi UK bulan lalu.
Data Indeks Harga Pengeluar AS (Khamis 8.30 Malam): Turut memberi petunjuk terhadap kadar inflasi dan perbelanjaan pengguna di AS, terbitan data indeks harga pengeluar akan diberi tumpuan. Bacaan untuk bulan Julai dijangka sedikit susut kepada 0.6% berbanding 1.0% bacaan sebelumnya.