Berikut merupakan sebahagian data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Data Iklim Perniagaan Jerman Tinjauan ifo (Isnin 5.00 Petang): Data yang akan menjadi petunjuk kesihatan ekonomi terbesar di Eropah ini adalah daripada tinjauan terhadap perniagaan-perniagaan semasa dan jangkaan untuk 6 bulan berikutnya. Pelabur akan menilai sama ada sektor perniagaan bergerak dengan baik atau sebaliknya berdasarkan bacaan tinjauan semasa.
Laporan Data Pekerjaan UK (Selasa 3.00 Petang): Tuntutan pengangguran di UK susut kepada angka 7,000 pada Disember daripada 64,300 pada bulan sebelumnya. Bacaan terbaru untuk bulan Januari akan dinilai bersama indeks purata pendapatan dalam tempoh 3 bulan serta kadar pengangguran di UK.
Data Inflasi Eropah (Selasa 6.00 Petang): Bacaan akhir bagi indeks harga pengguna Eropah dijangka tidak berubah dengan bacaan sebelumnya pada kadar 0.9%. Namun bacaan ini telah pun menunjukkan peningkatan berbanding paras negatif sebelum ini.
Mesyuarat Polisi Monetari Bank Pusat New Zealand (Rabu 9.00 Pagi): Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) dijangka akan terus mengekalkan kadar faedah tidak berubah di paras 0.25%. Kenyataan susulan oleh bank pusat akan dijadikan petunjuk oleh pelabur untuk polisi di masa hadapan.
Data Keluaran Dalam Negara Kasar AS (Khamis 9.30 Malam): Bacaan data KDNK Amerika Syarikat untuk suku terakhir 2020 akan menjadi tumpuan para pelabur. Angka bacaan awal susut rendah semula kepada 0.4% setelah suku sebelumnya mencatatkan lonjakan. Bacaan seterusnya dijangka tidak banyak berubah di paras yang kekal rendah.