Berikut merupakan sebahagian data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Data Inflasi China (Selasa 9.30 Pagi): Indeks harga pengguna tahunan yang diterbitkan untuk bulan April di China akan menjadi tumpuan bagi pelabur mendapatkan petunjuk kesihatan ekonomi kedua terbesar dunia itu. Bacaan data dijangka meningkat lebih tinggi berbanding angka sebelumnya.
Data Tinjauan ZEW Sentimen Ekonomi Eropah (Selasa 5.00 Petang): Tinjauan ekonomi Eropah kekal mencatatkan bacaan yang positif sejak penghujung tahun lalu memberi isyarat pemulihan ekonomi yang baik. Data yang meningkat akan menyokong dagangan Euro di awal minggu.
Data Keluaran Dalam Negara Kasar UK (Rabu 2.00 Petang): Bacaan awal bagi pertumbuhan KDNK di UK untuk suku pertama tahun ini akan diberi perhatian. Pasaran menjangkakan pertumbuhan yang menguncup dengan tekanan yang dihadapi UK walaupun ekonomi telah dibuka semula.
Data Inflasi AS (Rabu 8.30 Malam): Trend kenaikan kadar inflasi di Amerika Syarikat bakal berakhir dengan jangkaan penurunan pada indeks harga pengguna untuk bulan April. Menjadi tumpuan bank pusat, Federal Reserve (Fed) masih mengekalkan pelonggaran polisi dalam usaha menyokong pemulihan ekonomi.
Minit Mesyuarat Bank Pusat Eropah (Jumaat 7.30 Malam): European Central Bank (ECB) bakal menerbitkan minit mesyuarat April dan butiran akan diteliti pelabur untuk petunjuk polisi akan datang selepas bank pusat kekal bernada dovish.
Data Jualan Runcit AS (Jumaat 8.30 Malam): Kadar jualan runcit di Amerika Syarikat telah melonjak pada Mac kepada 9.8%, namun bacaan untuk April dijangka akan lebih rendah semula ke paras 1.0%. Jualan runcit teras juga dijangka turut susut semula.