Berikut merupakan sebahagian data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Mesyuarat Dasar Bank Pusat Australia (Selasa 12.30 Tengahari): Reserve Bank of Australia (RBA) dijangka akan terus mengekalkan kadar faedah tidak berubah, namun kenyataan susulan bank pusat akan menjadi petunjuk polisi buat pelabur setelah kebanyakan penganalisis ekonomi mula meramalkan perubahan pada polisi monetari dengan jangkaan untuk langkah awal pengetatan.
Sentimen Ekonomi Jerman Tinjauan ZEW (Selasa 5.00 Petang): Tinjauan terhadap pelabur di Jerman sebagai ekonomi terbesar di Eropah akan dilihat sebagai petunjuk mengukur kesihatan ekonomi di blok tersebut. Penurunan pada angka bacaan akan menambahkan lagi tekanan bagi mata wang Euro yang telah pamerkan pergerakan suram beberapa minggu.
Data PMI Perkhidmatan AS Tinjauan ISM (Selasa 10.00 Malam): Berkemungkinan bakal ada penurunan sedikit pada angka bacaan seperti sektor pembuatan minggu lalu, namun masih dijangkakan berada di paras yang stabil buat sektor perkhidmatan AS.
Minit Mesyuarat FOMC (Khamis 2.00 Pagi): Selepas keputusan mesyuarat sebelum ini menyaksikan pengukuhan US dolar, pelabur akan meneliti butiran lebih lanjut pada minit mesyuarat yang akan diterbitkan pada minggu ini bagi mendapatkan sebarang petunjuk terbaru.
Data Keluaran Dalam Negara Kasar UK (Jumaat 2.00 Petang): Bacaan bulanan bagi pertumbuhan GDP UK untuk Mei yang dijangka mencatatkan angka menurun akan menambahkan lagi tekanan buat dagangan mata wang Pound setelah kenyataan dovish bank pusat berkenaan polisi monetari sebelum ini.
Laporan Data Pekerjaan Kanada (Jumaat 8.30 Malam): Positif bagi mata wang Loonie, Kanada dijangka untuk mencatatkan pertambahan pekerjaan semula untuk bulan Jun selepas ekonomi kehilangan 68,000 pekerjaan yang telah dicatatkan pada Mei lalu. Sementara kadar pengangguran juga diramalkan untuk menurun.