Berikut merupakan sebahagian data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Data Keluaran Dalam Negara Kasar Eropah (Selasa 6.00 Petang): Bacaan akhir bagi pertumbuhan KDNK Eropah untuk suku terakhir 2020 yang dikemaskini dijangka tidak berubah pada -0.6% seperti yang diterbitkan sebelum ini.
Data Inflasi China (Rabu 9.30 Pagi): Bacaan bagi kadar inflasi tahunan China yang diterbitkan bagi bulan Februari dijangka masih kekal lemah seperti bacaan sebelum ini. Perbelanjaan pengguna menjadi indikator penting bagi kesihatan sesebuah ekonomi negara dan China sebagai ekonomi kedua terbesar di dunia akan menjadi tumpuan pelabur.
Data Inflasi AS (Rabu 9.30 Malam): Kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) dijangka meningkat untuk bulan Februari dengan jangkaan pemulihan ekonomi semasa. Bacaan inflasi dijangka meningkat kepada 0.4% daripada 0.3%, manakala bacaan teras dijangka meningkat kepada 0.2% daripada 0.0%.
Mesyuarat Polisi Bank Pusat Kanada (Rabu 11.00 Malam): Bank of Canada (BOC) dijangka akan mengekalkan kadar faedah di paras terendah 0.25% yang telah diturunkan ke paras tersebut sejak Mac tahun lalu. Kenyataan bernada hawkish oleh bank pusat dijangka akan menyokong pengukuhan dolar Kanada dalam pasaran.
Mesyuarat Polisi Bank Pusat Eropah (Khamis 8.45 Malam): European Central Bank (ECB) masih mengekalkan polisi semasa di samping mengimbangi kenaikan hasil bon global. Pelabur menjangkakan kadar faedah dikekalkan dan kenyataan susulan akan menjadi petunjuk bagi polisi monetari di masa hadapan.
Data Keluaran Dalam Negara Kasar UK (Jumaat 3.00 Petang): Laporan data pertumbuhan KDNK bulanan UK telah mencatatkan peningkatan kepada 1.2% pada Disember lalu. Adakah pasaran akan menyaksikan bacaan yang terus meningkat untuk bulan Januari pula?
Laporan Data Pekerjaan Kanada (Jumaat 9.30 Malam): Sektor buruh Kanada dilihat suram untuk beberapa bulan terbaru ini dengan bacaan pertambahan pekerjaan untuk Januari merosot kepada -212,800. Kadar pengangguran meningkat ketara kepada 9.4% daripada 8.6%. Laporan untuk Februari dinantikan pasaran.