Perdagangan Bursa Malaysia menyambung rentak kenaikan empat hari berturut-turut untuk dibuka tinggi pada hari ini setelah pelabur kembali yakin terhadap pasaran dan harga komoditi yang lebih baik.
Pada 10.06 pagi, Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 11.12 mata atau 0.72% kepada 1,564.50 berbanding 1,553.37 semasa ditutup pada Selasa.
Bernama melaporkan indeks utama itu dibuka 1.21 mata lebih tinggi kepada 1,554.58.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 256 daripada 130, manakala 312 kaunter tidak berubah, 1,553 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan melonjak kepada 197.44 juta unit bernilai RM129.59 juta.
Malacca Securities menjangkakan bahawa pasaran bakal mengalami penurunan dek kerana berkemungkinan profit taking akan berlaku susulan paras harga yang terus mencatatkan ketinggian.
Namun ia percaya bahawa sentimen positif ketika ini hendaklah terus disokong oleh nada pemulihan yang lebih menyeluruh di tengah-tengah kenaikan harga komoditi.
Dalam pada itu, pasaran dijangka bakal dipacu oleh kemajuan vaksinasi domestik yang lancar serta pelabur juga dilihat optimis terhadap musim pelaporan yang sedang berlangsung.
“Pelabur harus kekal menumpukan perhatian pada sektor teknologi berikutan pada semalam Nasdaq terus mempamerkan peningkatan,” katanya.
Selain itu, sektor pemulihan seperti bahan binaan dan sektor pembinaan bakal terus memperoleh tumpuan daripada para pelabur.
Bagi saham wajaran tinggi, Public Bank meningkat empat sen kepada RM4.15, Maybank melonjak enam sen kepada RM8.38 dan CIMB nak lima sen kepada RM4.88.
Manakala Press Metal menokok 20 sen kepada RM5.20, IOI meningkat 10 sen kepada RM3.99 dan Sime Darby ‘meroket’ enam sen kepada RM4.22.
Bagi saham aktif, MMAG, AE Multi dan Ta Win masing-masing tidak berubah pada 11.5 sen, 4.5 sen dan 16.5 sen serta Aimflex jatuh satu sen kepada 17.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 70.91 mata kepada 11,436.26, Indeks FBM Emas Shariah naik 72.47 mata kepada 12,493.81 dan FBM ACE menokok 36.94 mata kepada 7,364.43.
FBMT 100 melonjak 70.89 mata kepada 11,142.07 dan FBM 70 meningkat 29.69 mata kepada 14,961.09.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan ‘meroket’ 110.65 mata kepada 15,447.08, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.84 mata kepada 193.21. Indeks Perladangan menokok 83.81 mata menjadi 6,698.65.