US dolar bergerak tenang merentasi pasaran pada sesi Eropah ketika pelabur menantikan penerbitan data jualan runcit Amerika Syarikat pada malam ini yang akan menjadi penggerak seterusnya raja matawang itu.
Ketika penulisan, indeks dolar diniagakan menokok pada sekitar harga 95.50 berbanding kebanyakan matawang utama.
Pergerakan matawang gergasi itu pada mulanya terbantut ketika sesi Asia selepas pertemuan secara maya antara Presiden AS, Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping dikatakan berakhir dengan baik.
Ini sedikit sebanyak menambah sentimen untuk matawang utama, dan memberi sokongan buat matawang yuan China untuk menokok ke paras tertinggi lima bulan berbanding US dolar.
Namun begitu, dolar greenback kembali mengukuhkan kedudukan ketika pasaran memasuki sesi Eropah dengan jangkaan yang positif bahawa data jualan runcit yang akan dikeluarkan pada malam ini akan mempamerkan bacaan memberangsangkan.
Matawang euro terus melemah di tahap terendah 16 bulan, dengan diniagakan di sekitar harga 1.13560 berbanding USD kerana terkesan oleh kenyataan Bank Pusat Eropah (ECB) yang kekal dovish dalam menetapkan dasar monetarinya.
Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand terus merosot lebih rendah berbanding dolar greenback, gagal mengekalkan keuntungan yang diraih pada sesi Asia sebelum ini.