Permulaan dagangan awal minggu menyaksikan US dolar kembali menyambung kenaikan untuk didagangkan lebih kukuh berbanding kebanyakan matawang utama, terutamanya euro dan yen.
Kekuatan pemulihan ekonomi Amerika Syarikat dan pelancaran vaksin yang lebih cepat daripada Eropah, terus mendorong pelabur mendapatkan dolar greenback.
Matawang euro didagangkan suram di sekitar harga 1.17750, tidak jauh dari paras terendah empat setengah bulan yang dicapainya minggu lalu berbanding US dolar.
Pasaran terus dibelenggu kebimbangan terhadap kebangkitan semula kes coronavirus di Eropah, di mana yang terbaru, para pegawai kesihatan di Perancis memberi amaran bahawa mereka mungkin perlu memilih antara pesakit mana yang menerima rawatan kecemasan.
Sementara di Jerman pula, Canselor Angela Merkel mengatakan negara itu memerlukan perintah berkurung dan mungkin perlu menggunakan undang-undang Persekutuan untuk mengetatkan sekatan.
Matawang yen, yang sensitif dengan kenaikan hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang telah meningkat 0.76% tahun ini, terus didagangkan lemah di sekitar paras terendah 9 bulan berbanding US dolar.
Indeks dolar kukuh pada 92.80 dan terus stabil berbanding dolar Aussie, kiwi dan pound sterling setelah mencatatkan penyusutan pada Jumaat yang mungkin disebabkan pasaran mengambil keuntungan menjelang hujung minggu.