Dagangan Pound Sterling kembali berisiko setelah digemparkan dengan pengumuman langkah penutupan ekonomi atau ‘lockdown’ di UK oleh Perdana Menteri Boris Johnson.
Pelabur memberi tumpuan terhadap ucapan oleh PM Boris pada awal pagi ini dengan rumusan perkara penting dalam ucapan beliau.
Langkah sekatan pergerakan harus dilaksanakan apabila variasi baru Coronavirus dengan penyebaran pada kadar tahap 50-70%.
Pusat kesihatan semakin berdepan tekanan sejak berdepan krisis pandemik dan ekoran itu rakyat UK disarankan untuk kekal berada di rumah masing-masing dan hanya dibenarkan untuk keluar rumah atas sebab-sebab yang penting sahaja.
Pada pertengahan Februari dijangkakan vaksin akan diagihkan kepada kumpulan yang diutamakan, semua rumah-rumah penjagaan, semua warga berusia 70 tahun ke atas, petugas kesihatan barisan hadapan dan pekerja sosial serta pekerja kesihatan yang mudah terdedah dengan risiko jangkitan.
Jika agihan vaksin menunjukkan perkembangan positif dengan kadar kematian semakin menurun selepas kesan vaksin, sekatan pergerakan akan dilonggarkan semula dan persekolahan boleh disambung semula selepas Februari.
Setakat ini, negara tersebut telah melepasi angka jangkitan 50,000 sehari selama seminggu.
Pelonggaran sekatan pergerakan pada sambutan perayaan Krismas berkemungkinan meningkatkan penularan ekoran penyebaran pantas variasi virus yang baru.