Hubungan antara dua ekonomi gergasi dunia ini tampaknya masih belum pulih, selepas Amerika Syarikat dilaporkan kembali menyerang China dengan menyenaraihitamkan beberapa lagi firma dari tanah besar itu.
Terbaru, Jabatan Perdagangan AS telah menambah lapan entiti teknologi ke dalam senarai hitam, atas dakwaan mereka membantu membangunkan porgram pengkomputeran kuantum tentera China dan cuba mendapatkan barangan keluaran AS sebagai sokongan untuk kegunaan ketenteraan.
Pegawai AS telah lama mengadu bahawa syarikat Beijing terikat dengan kerajaan Republik Rakyat China dan mengumpul maklumat sensitif bagi pihak Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).
Selain itu, pentadbiran Biden juga menyenaraikan 16 entiti dan invidu yang beroperasi di China dan Pakistan untuk kerja mereka dalam program nuklear dan peluru berpandu balistik Islamabad.
Secara keseluruhannya, kerajaan AS telah menambah 27 entiti dan individu dari China, Pakistan, Rusia, Jepun dan Singapura.
Parti Komunis China sebelum ini pernah mengatakan bahawa ia tidak terlibat dalam pengintipan industri.
Sebagai tindak balas, jurucakap Kementerian Perdagangan China, Shu Jueteng mengatakan langkah sedemikian tidak membantu dalam hubungan dua hala antara AS dan China, selain turut menyifatkan sekatan itu sebagai tidak berasas.