Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menandatangani rang undang-undang pembiayaan sementara (stopgap funding) yang akan menyokong kerajaan untuk kekal berjalan sehingga 3 Disember.
Ia dibuat setelah Dewan Rakyat dan Senat AS menyetujui rang undang-undang tersebut pada awal pagi Khamis.
Rang undang-undang tersebut turut merangkumi pembiayaan $28.6 bilion untuk menyokong pemulihan dari bencana alam yang melanda seperti taufan, kebakaran hutan dan sebagainya, serta peruntukan $6.3 bilion untuk membantu pelarian Afghanistan yang menetap di AS.
Terdahulu, Republikan Senat telah menyekat usaha pentadbiran Biden untuk meningkatkan had siling hutang (debt ceiling) bagi terus menyokong pendanaan kepada kerajaan dan ini menyebabkan timbulnya kebimbangan terhadap berlakunya penutupan kerajaan (government shutdown).
Sekiranya penutupan kerajaan berlaku, ia boleh menyebabkan pergolakan pekerja persekutuan dan penangguhan dalam perkhidmatan tertentu.
Kelewatan pembiayaan mungkin menimbulkan cabarang tertentu dalam usaha AS untuk memerangi wabak coronavirus walaupun pentadbiran Biden mengatakan bahawa penutupan tersebut tidak akan banyak mempengaruhi fungsi kesihatan awam.