Harga emas stabil ketika dagangan memasuki sesi Eropah, disokong oleh dolar greenback yang lemah, tetapi kenaikan dibataskan oleh hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang tinggi.
Spot emas diniagakan berlegar pada $1,756 per auns, sementara niaga hadapan emas pula naik 0.3% pada $1,757 per auns.
Emas bergerak seiring dengan penyusutan US dolar di tengah sentimen positif yang meningkatkan permintaan terhadap aset berisiko.
Walaupun US dolar melemah, namun hasil bon AS tetap berada di sekitar paras tertinggi sejak Julai pada 1.44%, menyebabkan dagangan emas terhad di sekitar paras harga $1,760 per auns.
Tumpuan pasaran kini disasarkan kepada ucapan beberapa pembuat dasar Federal Reserve (Fed), pada minggu ini termasuk Pengerusi Jerome Powell yang akan memberi keterangan di hadapan Kongres mengenai tindak balas dasar bank pusat terhadap pandemik.
Pada akhir minggu lalu, pasaran telah menyaksikan ucapan Powell yang mengatakan Fed bersedia untuk menarik semula rangsangan ekonominya.
Dalam pada itu, pelabur juga memerhatikan perkembangan mengenai syarikat hartanah China, Evergrande yang terjerat dalam kemelut hutang. Firma itu dilaporkan akan membuat pembayaran faedah pada bon offshore minggu ini, selepas terlepas untuk melakukannya pada minggu lalu.