Dolar greenback meneruskan momentum pengukuhan selepas melonjak dengan ketara pada sesi sebelum ini, dengan tumpuan pasaran kini difokuskan kepada penerbitan laporan minit mesyuarat FOMC pada awal pagi Khamis.
Laporan minit tersebut akan dijadikan petunjuk kepada pelabur mengenai bila Federal Reserve (Fed) akan mula mengurangkan pembelian bon atau pengetatan dalam dasar monetarinya.
Terdahulu, pasaran telah diperlihatkan dengan bacaan data PMI perkhidmatan AS tinjauan ISM yang bukan sahaja menunjukkan bacaan lebih lemah daripada dijangkakan, tetapi paling rendah dalam tempoh empat bulan. Ini secara tidak langsung menandakan pertumbuhan ekonomi AS yang masih perlahan.
Hal ini mendorong kemerosotan dalam pasaran saham Wall Street pada sesi New York dan memberi peluang kepada dolar greenback untuk mencatatkan keuntungan lebih tinggi, walaupun hasil perbendaharaan AS 10 tahun menjunam ke paras terendah sejak Februari.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama didagangkan lebih kukuh pada 92.53.
Matawang euro kembali menjunam ke paras terendah hampir 3 bulan berbanding USD selepas menyaksikan penurunan dalam sentimen ekonomi di Jerman pada bulan Julai, hasil tinjauan ZEW.
Sementara itu, matawang pound bertahan di atas harga 1.3800 berbanding USD setelah ditolak jatuh pada sesi sebelum ini, ketika jangkaan Menteri Kesihatan UK, Sajid Javid membimbangkan pelabur, dengan mengatakan bahawa kes baru Covid-19 di UK akan melonjak di atas 100,000 sehari tidak lama lagi.
Matawang komoditi turut terjejas teruk berikutan kebangkitan semula USD, dengan memadamkan sepenuhnya keuntungan yang telah dicatatkan pada awal minggu ini.