Arab Saudi mengejutkan pasaran pada awal minggu setelah menurunkan harga minyak kepada pembeli Asia pada bulan Oktober sementara harga tetap tidak berubah untuk Eropah dan Amerika Syarikat.
Syarikat minyak gergasi, Saudi Aramco memberitahu pelanggan dalam satu kenyataan pada hari Ahad bahawa pihaknya akan menurunkan harga jualan rasmi (OSP) Oktober untuk semua gred minyak mentah yang dijual ke Asia, sekurang-kurangnya $1 setong.
Menurut tinjauan Reuters di kalangan kilang minyak Asia, pemotongan harga ini adalah lebih besar daripada yang dijangkakan oleh pasaran untuk turun hanya sekitar $0.20 hingga $0.40 sen setong.
Berikutan pemotongan ini, ia secara tidak langsung menandakan kelemahan dalam permintaan dan penawaran yang tinggi di Asia.
Harga minyak jatuh susulan pernyataan tersebut, mendorong niaga hadapan minyak mentah Brent dan WTI Amerika Syarikat merosot 1.2% pada hari Isnin, dengan masing-masing diniagakan pada $71.72 setong dan $68.44 setong ketika sesi Eropah.
Sementara itu, kebimbangan mengenai permintaan bahan bakar yang lebih perlahan di AS semakin meningkat akibat kebangkitan semula coronavirus dan bacaan data pekerjaan yang lemah menunjukkan perlambatan pemulihan pasaran buruh.