Kesepakatan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) membawa kekecewaan kepada pedagang minyak selepas kedua-dua pengeluar itu dilaporkan telah mencapai kompromi mengenai peningkatan pengeluaran.
Arab Saudi akhirnya bersetuju untuk membenarkan UAE meningkatkan penanda aras pengeluaran minyaknya kepada 3.65 juta tong sehari. Mesyuarat OPEC+ dikatakan akan segera diatur untuk memformalkan perjanjian.
Perjanjian ini telah mendorong kejatuhan harga minyak, di mana kedua-dua penanda aras minyak mentah merosot lebih 2% pada sesi sebelum ini.
Pada pembukaan sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah Brent masih didagangkan suram dengan susut 0.8% pada $74.15 setong dan WTI Amerika Syarikat pula turun 0.88% pada $72.50 setong.
Turut menambah kedukaan adalah apabila terdapat laporan yang mengatakan Iraq juga ingin meningkatkan penanda aras pengeluarannya, dan ini pastinya membawa khabar buruk kepada pelabur yang bimbang terhadap peningkatan bekalan di tengah ketidakpastian permintaan.
Sementara itu di Amerika Syarikat, bekalan minyak mentah terus menunjukkan pengurangan untuk minggu kelapan berturut-turut pada minggu lalu, tetapi stok petrol dan diesel dilaporkan meningkat, menurut data yang dikeluarkan Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA).
Dalam pada itu, rundingan mengenai perjanjian nuklear antara Iran dan AS tidak akan diteruskan dalam masa terdekat, menyebabkan pedagangan sedikit lega dengan peningkatan pengeluaran dari Iraq yang tidak akan terjadi.