Ketika Kanada berusaha untuk membendung gelombang ketiga Covid-19 yang melonjak, pentadbiran Perdana Menteri Justin Trudeau melancarkan belanjawan baru dengan memperuntukkan berbilion-bilion dolar untuk membantu melancarkan pemulihan ekonomi.
Bercakap di Dewan Rakyat di Ottawa pada Isnin petang, Menteri Kewangan Chrystia Freeland mengatakan belanjawan tersebut memperuntukkan $80.9 bilion selama 3 tahun untuk membantu meningkatkan ekonomi.
Melalui belanjawan tersebut, kerajaan akan memperluaskan lagi sokongan perniagaan dan kesihatan pandemik, serta meletakkan $30 bilion ke arah rancangan penjagaan kanak-kanak nasional, meningkatkan gaji minimum persekutuan dan menjanjikan $17.6 bilion untuk pelaburan hijau.
Defisit Kanada untuk tahun fiskal yang bermula 1 April dijangka menjadi yang kedua terbesar dalam beberapa dekad kebelakangan ini, dengan nisbah hutang terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diramal mencapai 50.5% pada tahun 2023.
Kanada kini berdepan dengan gelombang ketiga pandemik, menyebabkan kerajaan mengambil inisiatif untuk melancarkan belanjawan baru bagi menyokong ekonomi Kanada.
Susulan daripada pelancaran tersebut, dagangan dolar Kanada susut dari paras ketinggian satu bulan ketika sesi New York sebelum ini, disebabkan kebimbangan bahawa belanjawan baru ini akan mendorong lebih banyak hutang jangka panjang.
Namun, matawang itu kembali meningkat pada sesi Asia hari ini, dengan disokong oleh USD yang lemah.