Teknologi blockchain boleh dikatakan antara salah satu teknologi yang memiliki manfaat kepada hampir keseluruhan industri, namun ketua pakar ekonomi Swiss National Bank (SNB), Carloz Lenz berpendapat sebaliknya.
Difahamkan Lenz percaya blockchain bukanlah penyelesaian terbaik bagi matawang digital bank pusat (CBDC), franc digital kerana teknologi itu akan membatalkan ciri desentralisasi dalam CBDC sebagai penyelesaian ideal.
“Lebih mudah jika kita bayangkan adanya akaun secara langsung dengan Bank Negara. Atau kita boleh bergantung kepada penyelesaian yang sepenuhnya desentralisasi di blockchain, di mana tiada pihak berkuasa pusat. Tetapi, blockchain tidak cekap. Saya tidak rasa jika penyelesaian desentralisasi adalah ideal.”
Pada masa yang sama, Lenz percaya belum ada keperluan untuk negara itu menubuhkan franc digital memandangkan sistem pembayaran semasa masih berfungsi baik. Lenz yakin franc tidak akan berhadapan dengan risiko ‘digantikan’ dengan matawang lain seperti euro jika tiada penglibatan dalam CBDC.
Sebenarnya isu penerapan teknologi blockchain bagi CBDC acapkali dibangkitkan oleh kebanyakan pakar kewangan seluruh dunia.
Misalnya pada tahun lepas, salah seorang ahli SNB, Thomas Moser menegaskan tiada keperluan blockchain bagi penubuhan CBDC. Namun ketika itu, Switzerland juga ada mengkaji manfaat penggunaan blockchain dalam usaha pengenalan CBDC.
China sebaliknya menerima sepenuhnya penggunaan blockchain bagi memudahkan transaksi CBDC. Pada pertengahan Jun lalu, People’s Bank of China telah berjaya menjalankan pembayaran gaji dalam yuan digital menggunakan blockchain.