Ekonomi China melonjak pada suku pertama selepas disokong oleh perbelanjaan pengguna yang menguat serta pengeluaran dan pelaburan yang semakin pulih dari kemerosotan akibat COVID-19 tahun lalu.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China berkembang 18.3% pada suku pertama 2021 berbanding tahun sebelumnya, tetapi sedikit tersasar daripada jangkaan pasaran sebanyak 19%.
Ini merupakan pertumbuhan paling kuat yang pernah direkodkan sejak data mula dikeluarkan pada tahun 1992, yang didorong oleh permintaan dalam negara dan global yang kuat, serta sokongan fiskal dan monetari yang berterusan, lapor Biro Perangkaan Negara (NBS).
Bacaan ini juga menandakan perubahan yang luar biasa dari suku pertama 2020, ketika ekonomi mengalami kejatuhan drastik di bawah tekanan akibat coronavirus, yang menyusut sebanyak 6.8%.
Sementara dari suku ke suku, pertumbuhan ekonomi China sedikit perlahan sebanyak 0.6% pada suku pertama berbanding suku keempat tahun lalu yang berkembang 2.6%.
Selain itu, NBS turut melaporkan lonjakan ketara dalam jualan runcit dengan kenaikan 34.2%, jauh melebihi jangkaan kenaikan 28.0%. Ini menunjukkan pemulihan dalam penggunaan domestik di China.
Matawang berkaitan komoditi, dolar Aussie, kiwi dan loonie, kekal didagangkan tinggi susulan penerbitan data ekonomi China, walaupun sedikit susut pada awal sesi Asia disebabkan kebangkitan US dolar.