Menjelang sambutan perayaan krismas yang semakin hampir, kebimbangan terhadap penularan varian coronavirus Omicron dijangka akan merencatkan kemeriahan acara yang berlangsung.
Namun, Perdana Menteri UK Boris Johnson mengumumkan bahawa sekatan tidak akan diperketatkan walapun berdepan dengan kebimbangan tersebut.
Menteri Kewangan UK Rishi Sunak juga turut menyatakan bahawa sekatan pergerakan tidak akan berlaku sebelum perayaan Krismas.
Pun begitu, Boris Johnson telah mempertimbangkan untuk menghadkan bilangan untuk berkumpul dalam satu rumah ketika Krismas bagi mengurangkan risiko penularan.
Penganalisis menilai langkah untuk tidak melaksanakan sekatan menjelang perayaan tersebut akan mendorong peningkatan pada kadar jualan bagi barangan dan perkhidmatan.
Ini akan menyusuli keputusan mesyuarat bank pusat England pada minggu lalu yang bernada hawkish sekaligus akan menyokong pergerakan mata wang Pound dalam pasaran.
Bank of England (BOE) pada minggu lalu telah meningkatkan kadar faedah kepada 0.25% bagi mesyuarat polisi terakhir untuk tahun ini mencetus reaksi positif dengan lonjakan Pound.
Data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) UK untuk bacaan akhir pertumbuhan ekonomi suku ketiga akan menjadi tumpuan pada minggu ini untuk memacu pergerakan Pound.