Bitcoin terus mencatatkan rekod tertinggi harian berturut-turut apabila malam tadi berjaya melonjak dua kali ganda daripada harga tertinggi 2017, berada di paras $40,180 sekitar jam dua pagi waktu tempatan.
Bagaimanapun ketika berlaku penyusutan harga selepas rekod malam tadi, pelabur terpaksa berhadapan dengan gangguan perkhidmatan pertukaran kripto, Coinbase semasa ingin membuat pembelian BTC.
Menurut laporan yang diterima, hanya segelintir pelabur sahaja yang berjaya membeli atau menjual BTC.
Sementara pelabur lain membuat puluhan laporan melibatkan gangguan server, kesukaran untuk log in dan pengeluaran, dan banyak lagi.
Sejak BTC menjadi bullish, kedua-duanya telah menjadi perhatian pelabur segenap global kerana Coinbase dan Coinbase Pro merupakan pilihan pertama terutama pelabur institusi sejak 2017.
Jadi tidak hairanlah jika Coinbase dan Bitcoin menjadi trending di Twitter pada masa yang sama selepas kebanyakan pelabur meluahkan rasa tidak puas hati.
Mana tidaknya, ketika BTC mencatatkan lonjakan harga dan penyusutan semulajadi, pelabur institusi menyedari persaingan sengit dengan pelabur lain termasuk pelabur runcit yang berebut mahu menambah aset.
Jika Coinbase gagal mengendalikan isu ini dan cuba menambahbaik fungsi asas secara berkala, mungkin rancangan mereka untuk melancarkan penawaran awam (IPO) pada tahun ini menemui kegagalan.
Ketika penulisan BTC didagangkan pada $37,907, melonjak 0.7% daripada nilai terendah $36,530.