Dolar greenback melonjak lebih tinggi setelah didorong oleh kenyataan hawkish daripada para pembuat dasar Federal Reserve (Fed) mengenai pengetatan dalam dasar monetari mereka.
Naib Pengerusi Fed, Richard Clarida mengatakan bahawa beliau ‘pasti’ melihat bank pusat mengumumkan pengurangan pembelian bon pada akhir tahun ini jika syarat untuk mencapai kemajuan besar dipenuhi.
Beliau juga menambah bahawa syarat untuk menaikkan kadar faedah akan dicapai menjelang akhir tahun 2020, sekiranya inflasi dan pekerjaan menepati ramalannya.
Tiga pembuat dasar yang lain pada hari Rabu juga menunjukkan kesediaan mereka untuk mula melakukan pengurangan. Salah satunya, Presiden Fed Louis, James Bullard mengatakan pengurangan yang lebih cepat akan membuka jalan kepada kenaikan kadar pada tahun depan, jika diperlukan.
Indeks dolar melonjak sekitar 0.3% susulan kenyataan tersebut, mengubat kekecewaan awal pasaran selepas diperlihatkan dengan bacaan data pekerjaan swasta ADP yang mencatatkan peningkatan hanya sebanyak 330,000 pekerjaan pada bulan Julai, jauh tersasar daripada jangkaan untuk meningkat 695,000.
Selain itu, pengukuhan harga US dolar turut disokong oleh pembacaan data PMI perkhidmatan tinjauan ISM yang menunjukkan peningkatan terkuat dalam sektor itu sejak tahun 1997.
Matawang pound merosot di bawah harga 1.39000 susulan kebangkitan semula US dolar, dengan tumpuan pasaran kini dialihkan kepada mesyuarat polisi Bank Pusat England (BOE) pada malam ini.
Matawang euro turut susut disebabkan lonjakan yang dipamerkan oleh greenback, mendorongnya untuk didagangkan di sekitar paras terendah mingguan pada 1.1840.
Dolar New Zealand masih lagi bertahan walaupun sedikit susut, yang masih mendapat sokongan daripada bacaan data pekerjaan yang memberangsangkan dan meningkatkan jangkaan pelabur untuk kenaikan kadar faedah lebih cepat dari Bank Pusat New Zealand.