Pada jam 9.52 pagi penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melantun 2.63 mata pada 1,483.55 daripada penutupan Selasa pada 1,480.92.
Ia dibuka tinggi ekoran aktiviti buruan saham nilai rendah selepas mengalami sesi penjualan pada Selasa walaupun prestasi Wall Street yang lemah.
Indeks dibuka 1.20 mata pada 1,482.12.
Di pasaran meluas, pelabur menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan 242 berbanding 239, manakala 313 kaunter pula tidak berubah, 1,523 tidak didagangkan dan 19 digantung.
Jumlah perolehan pada 452.51 juta unit bernilai RM244.2 juta.
Nota yang dikeluarkan oleh Malacca Securities Sdn Bhd menyatakan lantunan bursa tempatan seiring dengan prestasi pasaran global.
Tambahnya lagi, pasaran tempatan dijangka kekal perlahan apabila pelabur menanti keputusan mesyuarat Federal Reserve (Fed) mengenai dasar monetari dan kebimbangan terhadap varian Omicron di United Kingdom (UK).
Pasaran komoditi memperlihatkan kedua-dua harga minyak sawit mentah dan harga minyak mentah mengalami penarikan semula sementara harga keluli dalam aliran menaik.
Saham berwajaran tinggi menyaksikan Malayan Banking Bhd (Maybank) naik 0.5 sen pada RM8.14 sementara Public Bank Bhd, Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem), IHH Healthcare dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) kekal pada RM4, RM8.61, RM6.50 dan RM9.23.
Saham aktif memperlihatkan ATA IMS Bhd tambah 3.5 sen pada 58.5 sen dan Pelikan International Corp Bhd naik 3 sen pada 57 sen sementara Dataprep Holdings Bhd susut 3 sen pada RM1.02 dan Sapura Energy Bhd serta Widad Group Bhd kekal 5 sen dan 35 sen.
Di papan indeks, indeks FBM Emas naik 21.27 mata pada 10,814.46, indeks FBMT 100 tambah 23.49 mata pada 10,510.34 dan indeks FBM Emas Shariah jatuh 21.01 mata pada 11,637.94.
FBM 70 turun 50.51 mata pada 13,924.71 dan FBM ACE kukuh 22.44 mata pada 6,207.94.
Indeks Industri Produk dan Perkhidmatan tambah 0.45 mata pada 193.78, indeks Perkhidmatan Kewangan naik 51.38 mata pada 15,130.02 dan indeks Perladangan turun 0.73 mata pada 6,429.77.