Cagamas Bhd mengumumkan kejayaan terbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) untuk tempoh lima tahun bernilai RM200 juta dan hasilnya akan digunakan untuk tujuan modal kerja syarikat.
“Kami gembira dengan kejayaan penetapan harga terbitan ini dalam persekitaran langkah yang lebih ketat dilaksanakan di seluruh negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0), berikutan kes Covid-19 yang meningkat dalam tempoh beberapa minggu ini.
“Walaupun sentimen pasaran bon tempatan bertambah baik seperti yang dapat dilihat daripada aktiviti belian, impak terhadap pertumbuhan terus tidak menentu selepas PKP 3.0,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Chung Chee Leong dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau seperti dilaporkan oleh Bernama, terbitan bernilai RM200 juta itu dimuktamadkan melalui tawaran saham persendirian, mencatatkan tebaran 48 mata asas yang baik berbanding Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia.
Tambah Chee Leong, terbitan baharu itu menjadikan terbitan agregat syarikat pada tahun ini kepada RM6.1 bilion.
Kertas-kertas tersebut, yang akan ditebus pada nilai nominal penuh setelah matang, adalah tanggungjawab yang tidak dijamin syarikat, pada kedudukan pari passu dan dengan semua tanggungjawab tidak dijamin sedia ada.
IMTN akan disenaraikan dan diniagakan di bawah Sistem Dagangan Sekuriti Tanpa Skrip.