Pembukaan dagangan hari ini menyaksikan terdapat ‘gap’ pada carta harga minyak mentah yang melonjak lebih tinggi pada sesi Asia.
Niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan kukuh di sekitar paras ketinggian 2 bulan pada $69.50 setong.
Sementara dagangan WTI Amerika Syarikat pula menokok pada $66.30 setong, iaitu di tahap paling tinggi sejak Mac.
Lonjakan ini mengikuti penurunan ketara yang dicatatkan dalam bekalan minyak mentah Amerika Syarikat yang direkodkan minggu lalu.
Institut Petroleum Amerika (API) melaporkan kejatuhan sebanyak 7.7 juta tong, iaitu yang terbesar pernah direkodkan sejak akhir Januari 2021. Bacaan ini jauh tiga kali ganda lebih tinggi daripada jangkaan penurunan oleh pasaran.
Pelabur kini menantikan data dari Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS pada hari ini untuk melihat sama ada data rasmi menunjukkan penurunan besar dalam bekalan minyak mentah.
Selain itu, kenaikan harga minyak turut disokong oleh kemajuan dalam pelancaran vaksin Covid-19 di Amerika Syarikat dan Eropah, yang membuka jalan bagi kerajaan untuk mengangkat semula beberapa sekatan.
Optimisme pasaran telah membantu mengimbangi kebimbangan terhadap lonjakan kes Covid-19 di India yang mana jumlah keseluruhannya telah melebihi angka 20 juta, ekoran kenaikan lebih 300,000 kes setiap hari sejak akhir bulan lalu.