Kepimpinan Demokrat Senat AS dan Jawatankuasa Belanjawan Demokrat pada hari ini, telah bersetuju dengan rancangan pelaburan infrastruktur bernilai $ 3.5 trilion yang mereka ingin sertakan dalam resolusi belanjawan yang akan dibahaskan akhir musim panas ini.
Ketua Majoriti Senat, Chuck Schumer mengesahkan perkara tersebut kepada wartawan setelah lebih dari jam rundingan tertutup oleh Jawatankuasa Demokrat dan pegawai White House. Bagaimanapun, ahli Republikan tidak termasuk dalam rundingan ini.
Demokrat dalam jawatankuasa itu sebelum ini berpecah belah mengenai ukuran dan rangkuman dalam pakej itu, dengan Bernie Sanders pada mulanya mencadangkan rangsangan bernilai $ 6 trilion untuk pengembangan Medicare, reformasi imigrasi, meningkatkan faedah penjagaan anak dan lebih banyak lagi sesuai dengan cadangan Presiden Joe Biden.
Melalui rundingan ini, kedua-dua pihak akhirnya bersetuju untuk memasukkan pengembangan program penjagaan kesihatan Medicare dalam perjanjian tersebut.
Dengan perjanjian ini, ia membolehkan Demokrat untuk membawa resolusi belanjawan ke peringkat Senat yang hanya memerlukan 50 undi kaukus Demokrat dan undian Naib Presiden Kamala Harris sebagai penentu undian.
Bagaimanapun, draf cadangan belanjawan belum mendapat sokongan dari semua 50 anggota kaukus dan ia boleh diubah setelah pertimbangan moderat dan progresif. Dewan Demokrat berkoordinasi dengan jawatankuasa Sanders tetapi belum mengumumkan sama ada mereka menyokong perjanjian baru.