Sentimen positif kembali menghiasi pasaran dengan memperlihatkan kebanyakan matawang utama diperdagangkan lebih tinggi berbanding dolar greenback pada pembukaan dagangan awal minggu.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan susut 92.08 pada sesi Asia, menyambung penurunan yang dicatatkan pada akhir sesi minggu lalu ketika pasaran saham kembali stabil.
Prospek inflasi AS dan pengetatan dasar oleh Federal Reserve (Fed) kembali menjadi tumpuan pelabur pada minggu ini, di mana data harga pengguna akan diterbitkan pada Selasa dan Pengerusi Fed, Jerome Powell akan berucap pada hari Rabu.
Euro didagangkan stabil di sekitar 1.1875, setelah naik dari paras terendah hampir tiga bulan berbanding US dolar.
Sementara matawang pound pula mendahului kenaikan dengan diniagakan kukuh di atas harga 1.39000 berbanding greenback walaupun bacaan data pertumbuhan ekonomi UK kurang baik pada bulan Mei.
Dolar Kanada pula menguat berbanding US dolar selepas menyaksikan bacaan data yang memberangsangkan pada Jumaat, di mana Kanada dilaporkan menambah lebih banyak pekerjaan daripada dijangkakan pada bulan Jun.
Dalam pada itu, People’s Bank of China (PBOC) pada hari Jumaat, telah mengurangkan kadar faedah untuk bank sebanyak 50 mata asas berkuatkuasa mulai 15 Julai, untuk menyokong pemulihan ekonominya yang mulai kehilangan momentum.
Hal ini telah memberi sedikit sokongan untuk matawang antipodean kembali meningkat, namun, pergerakan yang dipamerkan dolar Aussie dan kiwi dilihat terbatas pada awal sesi Asia hari ini.