Ekonomi Jepun tanpa dijangka mencatat penguncupan lebih besar daripada dijangkakan pada suku ketiga ketika negara itu masih berada dalam sekatan coronavirus untuk membendung penularan Covid-19 yang meningkat tinggi.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sebanyak 3.6% secara tahunan dalam tempoh tiga bulan hingga September berbanding anggaran awal untuk penguncupan hanya 3.0%, menurut data kerajaan yang disemak semula.
Sementara pada asas suku ke suku, ekonomi jatuh 0.9%, sedikit tersasar daripada anggaran awal untuk penguncupan 0.8%.
Antara faktor yang dikatakan penyumbang utama kepada penguncupan ini adalah kejatuhan lebih besar dalam perbelanjaan pengguna Jepun disebabkan sekatan coronavirus yang dilaksanakan.
Penguncupan yang dicatatkan menunjukkan ekonomi mungkin berada dalam keadaan lebih lemah daripada dijangkakan pada mulanya sebelum keadaan kecemasan ditarik balik pada awal Oktober.
Namun, kes Covid-19 semakin menurun sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berikrar untuk terus berhati-hati dalam pendekatannya terhadap virus itu.
Pakej rangsangan yang diumumkan bulan lepas masih memerlukan masa untuk dilaksanakan. Belanjawan tambahan yang ditetapkan untuk membantu membiayai langkah termasuk pemberian wang tunai dijangka diluluskan oleh parlimen sebelum akhir tahun.