Emas tergelincir ke paras terendah terbaharu satu bulan, membawanya ke landasan untuk penurunan mingguan ketiga berturut-turut berikutan jangkaan Federal Reserve (Fed) akan mengetatkan dasar monetarinya lebih cepat.
Pada sesi Asia, spot emas diniagakan sedikit meningkat pada $1,771 per auns, selepas menjunam ke tahap terendah sekitar harga $1,761 per auns ketika sesi New York.
Sementara itu, hasil bon AS 10 tahun sedikit susut, selepas meningkat pada sesi sebelum ini sehingga mendorong emas lebih rendah.
Kenyataan beberapa pembuat dasar Fed pada sesi sebelum ini telah menguatkan lagi pandangan Pengerusi Jerome Powell bahawa bank pusat itu bersedia untuk mengetatkan dasar lebih awal dari jangkakan.
Presiden Fed Atlanta, Raphael Bostic memberitahu bahawa adalah wajar untuk menamatkan program pembelian bon menjelang Mac 2022 bagi membuka peluang kepada bank pusat untuk menaikkan kadar bagi menangani inflasi.
Sementara Presiden Fed San Fransisco, Mary Daly pula berkata mungkin sudah tiba masanya untuk mula merangka rancangan menaikkan kadar bagi memerangi inflasi.
Di sisi lain, pelabur kini menumpukan perhatian kepada data pekerjaan NFP AS yang dijangka mencatat bacaan lebih kuat pada bulan November berbanding sebelumnya.