Emas diperdagangkan jauh lebih tinggi pada hari Jumaat, selepas pembacaan data ekonomi AS yang mengecewakan mendorong para pelabur untuk meningkatkan pegangan terhadap logam berharga itu.
Ekonomi AS tanpa dijangka mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan daripada dijangkakan dengan meningkat 6.5% pada suku kedua daripada jangkaan 8.5%, menurut anggaran awal dari Jabatan Perdagangan AS.
Ini sekali gus menambah kedukaan buat matawang US dolar dan hasil bon AS yang sedia lemah, untuk menjunam lebih rendah.
Pada sesi Asia, spot emas didagangkan menguat pada $1,827 per auns, selepas mencecah paras tertinggi dua minggu pada sesi sebelum ini pada $1,832 per auns.
Sementara niaga hadapan emas pula diniagakan pada $1,829 per auns. Logam kuning itu berada di landasan untuk kenaikan mingguan terbesar sejak 21 Mei, meningkat 1.5% setakat ini.
Terdahulu, peningkatan emas telah disokong oleh kenyataan Federal Reserve (Fed) yang dilihat tidak tergesa-gesa untuk melakukan pengurangan dalam pembelian asetnya walaupun terdapat kemajuan telah dibuat.
Pengeluaran data inflasi tumpuan Fed, iaitu perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS akan menjadi tumpuan pelabur seterusnya pada malam ini, yang dijangka akan terus menunjukkan peningkatan pada bulan Jun.