Harga emas kembali meningkat di atas paras harga $1,800 per auns selepas merosot lebih rendah pada akhir dagangan minggu lalu, ditolak jatuh oleh hasil bon AS dan US dolar yang kuat.
Pada sesi Asia, harga emas diniagakan meningkat pada $1,805 per auns, naik dari paras terendah lebih satu minggu, pada $1,789 yang dicatatkan pada hari Jumaat. Niaga hadapan emas pula positif pada $1,806.
Secara keseluruhannya, harga emas masih lagi bergerak di sekitar paras harga yang sama walaupun berlaku pergerakan turun naik yang ketara pada minggu lalu.
Pasaran kini menjangkakan pergerakan lebih agresif akan dipamerkan harga emas menjelang mesyuarat polisi FOMC pada minggu ini yang dijangka akan memberi petunjuk mengenai pengurangan dalam pembelian asetnya.
Dalam pada itu, pelabur juga akan melihat data inflasi dari Amerika Syarikat, Eropah, kanada dan Australia yang akan mempengaruhi pergerakan harga emas.
Pada minggu ini juga, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga akan mengeluarkan kemas kini mengenai prospek ekonomi dunia, dan tumpuan akan disasarkan kepada pertumbuhan di beberapa negara yang diancam oleh varian Delta.