Salah satu tumpuan utama pasaran minggu ini adalah mesyuarat polisi Reserve Bank of Australia (RBA) yang dijangka akan mengekalkan kadar faedah dan sasaran hasil bon tiga tahun di paras terendah 0.10% pada pertemuan pertama untuk tahun ini hari esok.
RBA sebelum ini sudah melaksanakan program pembelian bon selama enam bulan, AU$100 bilion dan menjalankan kemudahan pinjaman bank.
Berikutan pasaran pekerjaan Australia yang kian pulih dan sentimen yang menguat serta perbelanjaan isi rumah meningkat, pasaran melihat bank pusat akan kekal dengan pendekatan semasa.
Namun pada masa yang sama, masih terlalu awal untuk bank pusat mengurangkan pelonggaran kuantitatif.
Ini kerana pasaran pekerjaan berdepan dengan risiko selepas subsidi upah oleh kerajaan akan ditamatkan pada bulan Mac, dan ini berpotensi untuk mencetuskan pengurangan pekerjaan dan kebankrapan.
Dalam pada itu, dengan jangkaan bank pusat akan terus mengekalkan dasar monetari semasa, ia dijangka akan merangsang dagangan dolar Aussie yang lemah.
Ketika pembukaan sesi Eropah, dolar Aussie didagangkan suram walaupun mencatatkan sedikit kenaikan pada sesi Asia sebelum ini.