Lonjakan harga emas pada sesi sebelum ini tidak bertahan lama selepas dagangan logam kuning itu kembali menjunam lebih rendah susulan pengukuhan US dolar.
Pada sesi Asia, spot emas diniagakan pada $1,775 per auns, jatuh lebih rendah daripada kenaikan yang dicatatkan ketika sesi sebelum ini pada pada $1,794 per auns.
Bacaan data PMI pembuatan dan perkhidmatan AS yang bercampur-campur telah memberi keuntungan awal buat logam berharga itu untuk mencatatkan kenaikan paling tinggi pada minggu ini.
Aktiviti pembuatan AS meningkat pada bulan Jun, disokong oleh pengeluaran dan pesanan baru yang terus meningkat dengan ketara.
Bagaimanapun, pada masa yang sama, pengeluar berdepan kesukaran untuk mendapatkan bahan mentah dan pekerja mahir, sekali gus mendorong peningkatan harga pengguna dan perniagaan lebih tinggi.
Sementara kegiatan perniagaan pula tanpa dijangka merosot dengan kedua-dua aktiviti perkhidmatan dan pengeluaran pembuatan meningkat pada kadar yang lebih rendah susulan pengeluar berdepan masalah untuk memenuhi permintaan.
Namun, kenyataan pembuat dasar Fed kembali mendorong emas lebih rendah selepas Presiden Atlanta Fed, Raphael Bostic mengatakan kadar faedah perlu dinaikkan pada akhir tahun 2022.