Dolar Amerika mengekalkan momentum pengukuhan yang diraih pada sesi sebelum ini, walaupun mempamerkan sedikit penyusutan ketika sesi Asia hari ini.
Ketika penulisan, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding kebanyakan matawang utama didagangkan sedikit susut pada 93.90.
Pada sesi New York, raja matawang itu telah mendapat sokongan dari beberapa data ekonomi yang menunjukkan keyakinan pengguna yang lebih kukuh dan jualan rumah baru juga meningkat.
Indeks keyakinan pengguna AS tanpa dijangka telah melonjak pada bulan Oktober dengan catatan yang lebih kuat 113.8 berbanding bacaan yang disemak semula sebelum ini 109.8.
Menurut laporan rasmi, kadar pengguna yang merancang untuk membeli rumah, kereta dan peralatan utama telah menunjukkan peningkatan pada bulan ini, menandakan perbelanjaan pengguna akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi sehingga ke akhir tahun 2021.
Pelabur kini menantikan penerbitan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS yang akan menunjukkan pertumbuhan pada suku ketiga ketika negara itu semakin pulih dari ancaman varian Delta.
Matawang yen gagal memanfaatkan peluang untuk meningkat susulan kemerosotan hasil bon AS 10 tahun, ditekan jangkaan pelabur bahawa Bank Pusat Jepun (BOJ) akan mengekalkan dasar monetari yang longgar pada mesyuarat polisi pada hari Khamis.