Penerbitan laporan minit mesyuarat Reserve Bank of Australia (RBA) telah menjadi tumpuan pasaran pada sesi Asia, yang menyaksikan kejatuhan dolar Aussie berikutan kenyataan dovish bank pusat.
Walaupun bank pusat telah memutuskan untuk meneruskan pengurangan pembelian aset pada awal September, tetapi ia bersedia untuk mengambil tindakan sekiranya langkah penutupan coronavirus di seluruh negara mengancam ekonomi lebih mendalam.
Kenyataan tersebut dilihat mungkin akan dilaksanakan, lebih-lebih lagi ketika kes coronavirus di Australia terus menunjukkan peningkatan meskipun langkah sekatan telah dilanjutkan berminggu-minggu.
Pada mesyuarat polisi awal bulan ini, para pembuat dasar telah menyatakan optimisme bahawa ekonomi akan pulih dengan cepat setelah langkah sekatan dilonggarkan. Hasilnya, mereka memutuskan untuk meneruskan rancangan mengurangkan pembelian bon mingguannya kepada A$4 bilion dari kadar semasa $5 bilion.
Namun, pada masa yang sama, beberapa kenyataan lain dalam minit mesyuarat menunjukkan bahawa RBA akan terus mengkaji rancangan pembelian bon seiring dengan situasi kesihatan semasa.
Sejak itu, kes jangkitan terus menunjukkan peningkatan sehingga menyebabkan langkah sekatan lebih ketat dilaksanakan di beberapa kawasan paling teruk terjejas, terutamanya di Sydney dan Melbourne.
Dolar Aussie menyusut lebih rendah susulan penerbitan laporan minit mesyuarat tersebut di sekitar harga 0.7302, tidak jauh dari paras terendah sejak Disember, yang dicapainya pada bulan lalu 0.7288 berbanding US dolar.