Emas didagangkan stabil pada hari Selasa ketika pelabur menantikan mesyuarat polisi FOMC yang akan berlangsung minggu ini.
Menjelang pembukaan sesi Eropah, harga emas meningkat pada $1,735 per auns, sementara niaga hadapan emas pula didagangkan positif di sekitar $1,733 per auns (2.15 petang waktu Malaysia).
Harga emas telah disokong oleh hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang mencatatkan sedikit penurunan pada sesi dagangan hari ini, menyebabkan pergerakan dolar greenback berbanding kebanyakan matawang utama terhad.
Bagaimanapun, keyakinan yang berterusan pasaran untuk pemulihan ekonomi yang lebih cepat dari krisis Covid-19 membataskan kenaikan logam berharga emas.
Pelabur kini menantikan pemangkin baru daripada mesyuarat polisi Federal Reserve (Fed) yang dijangka akan meningkatkan prospek terhadap pertumbuhan mereka susulan pelancaran vaksin Covid-19 dan pelaksanaan pakej rangsangan AS.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen sebelum ini memberitahu bahawa risiko inflasi AS adalah kecil dan terkawal. Namun, pasaran nampaknya tidak memberi reaksi terhadap kenyataan tersebut.