Logam kuning emas bertahan pada keuntungan yang diraih pada akhir dagangan minggu lalu yang menyaksikan penurunan hasil perbendaharaan AS 10 tahun dan US dolar.
Pada sesi Asia, harga emas didagangkan sedikit berubah di sekitar paras ketinggian satu minggu pada $1,777 per auns, manakala niaga hadapan emas pula diniagakan pada $1,780 per auns.
Kewaspadaan pelabur kembali ke pasaran matawang setelah data pada hari Jumaat menunjukkan sentimen pengguna AS jatuh pada awal bulan ini ke tahap terendah sejak 2011, menurut tinjauan University of Michigan.
Data tersebut telah mengheret hasil bon AS lebih rendah dan memberi kesan pada dagangan greenback untuk merosot ke paras terendah satu minggu berbanding kebanyakan matawang utama.
Ini susulan daripada peningkatan kes Covid-19 di AS dan seluruh dunia yang menyebabkan kurangnya keyakinan untuk pemulihan ekonomi yang lebih kuat.
Sementara itu, kenyataan pembuat dasar Federal Reserve, Neel Kashari juga mempengaruhi USD. Kashari mengatakan bahawa beliau ingin melihat beberapa lagi laporan pekerjaan yang kukuh sebelum melaksanakan pengurangan dalam pembelian asetnya.
Ini menunjukkan perpecahan antara pembuat dasar Fed untuk mula melaksanakan pengurangan. Laporan minit mesyuarat polisi FOMC pada minggu ini akan menjadi tumpuan pasaran seterusnya untuk petunjuk lebih jelas mengenai pengurangan oleh Fed.