Setelah terkesan oleh kenyataan Presiden Rusia Vladimir Putin, harga minyak mentah kembali mendapat sokongan untuk meningkat semula ke paras tertinggi yang dicapainya sebelum ini.
Dagangan WTI Amerika Syarikat, kembali merebut takhta di paras ketinggian 7 tahun pada $78.20 setong. Komoditi itu mengalami kejatuhan ketara pada Khamis dengan kehilangan sekitar 3%.
Sementara niaga hadapan minyak Brent pula meningkat semula ke tahap tertinggi 3 tahun pada $82.88 setong susulan penurunan drastik yang dicatatkan pada Khamis.
Putin sebelum ini mengatakan kesediaan negara itu untuk menstabilkan pasaran tenaga global dan membantu mengeksport gas asli ke Eropah bagi mengurangkan krisis tenaga di benua itu.
Bagaimanapun, harga kembali meningkat selepas Jabatan Tenaga Amerika Syarikat mengatakan ia tidak mempunyai rancangan buat masa ini untuk memanfaatkan rizab minyak strategik negara itu untuk meredakan kenaikan harga minyak.
Secara keseluruhan, kenaikan harga minyak minggu ini didorong oleh lonjakan harga gas ke paras tertinggi sepanjang masa dan keputusan oleh OPEC+ untuk mengekalkan rancangan pengeluaran sebanyak 400,000 tong pada November.