Harga minyak mentah meneruskan penurunan lebih rendah selepas jatuh di bawah tahap $70 setong pada awal minggu, ditekan oleh kebimbangan terhadap permintaan global yang akan terjejas akibat kebangkitan kes coronavirus dan persetujuan OPEC+ untuk meningkatkan pengeluaran minyak.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan suram di sekitar harga $68.80 setong, sementara WTI Amerika Syarikat pula merosot pada $66.75 setong.
Bacaan data yang dikeluarkan Institut Petroleum Amerika (API) tanpa dijangka memperlihatkan peningkatan dalam bekalan minyak mentah AS pada minggu lalu dengan kenaikan sebanyak 806,000 tong.
Peningkatan ini akan menjadi yang pertama direkodkan sejak bulan Mei, sekiranya data rasmi yang dikeluarkan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) juga melaporkan kenaikan dalam inventori minyak mentah.
Penularan varian Delta yang sangat cepat terus mendorong peningkatan kes jangkitan di seluruh dunia, membuatkan pasaran bimbang dengan pemulihan permintaan global yang dicapai setakat ini akan terjejas
Sementara itu, keputusan OPEC+ untuk terus meningkatkan pengeluaran minyak juga memberi tekanan buat pasaran di tengah permintaan yang goyah daripada ekonomi-ekonomi utama dunia.
Pada minggu lalu, China melaporkan penurunan dalam import minyak mentahnya, sejajar dengan pemulihan dalam beberapa data eknomi lain yang menunjukkan pertumbuhan perlahan di negara itu.