Kejayaan Elon Musk menjadi individu terkaya dunia rupanya turut mengundang tuah kepada dua individu yang membuat pelaburan di dalam firmanya, Tesla, Inc..
Jurutera Amazon dikenali sebagai Diebert, 39, menerusi akaun Twitternya pada 8 Januari lalu memberitahu mahu bersara selepas menerima keuntungan hasil pelaburannya dalam syarikat pengeluar kereta elektrik itu.
Diebert yang juga pernah bertugas di Google turut memuatnaik bukti screenshot akaun sekuriti yang bernilai hampir $12 juta (sekitar RM48.5 juta) hasil pemilikan 14,850 saham Tesla.
Jelasnya lagi, dia menghabiskan pendapatannya untuk pelaburan pertama pada 7 tahun lalu melibatkan 2500 saham Tesla. Ketika itu harga sesaham cuma $7.50, menjadikan jumlah keseluruhan saham yang dimilikinya mencecah lebih $2 juta (RM8.08 juta) berdasarkan harga semasa.
Ketika penulisan harga saham Tesla bernilai $845, dilihat kekal melonjak dengan kenaikan 743% pada 2020.
Menceritakan pengalamannya, Deibert akui dia pernah kehilangan $1.3 juta dalam masa sehari namun masih tidak takut untuk meneruskan pelaburan.
Sebelum ini tampil seorang individu bernama Brandon Smith yang juga mengaku memasukkan $10,000 simpanannya ke dalam saham Tesla.
Pelaburan tersebut merupakan pelaburan pertamanya dan ketika itu dia langsung tidak ada ilmu mengenai saham.
Menurutnya, dia hanya membeli dan menyimpan tanpa menjual sebarang saham Tesla yang dimilikinya.
Tanpa disangka, ketika saham Tesla melonjak berturut-turut pada 2020, Smith secara tidak langsung menerima keuntungan melebihi $1 juta, menjadikan dia sebahagian daripada kumpulan pelabur Tesla, “Teslanaire”.