Hari Jumaat akan menjadi hari yang sibuk buat trader forex dengan laporan PMI pembuatan dan perkhidmatanyang bakal diterbitkan, terutamanya di Amerika Syarikat dan Eropah.
Kebanyakan matawang utama kembali memaparkan kenaikan lebih tinggi ketika dolar greenback terus menyusut rendah.
Pada sesi Asia, dolar greenback memadamkan keuntungan yang diraih daripada laporan minit mesyuarat FOMC sebelum ini, dengan indeks dolar didagangkan lemah di tahap terendah hampir 3 bulan berbanding sekumpulan matawang utama.
Pasaran kini menantikan data PMI pembuatan dan perkhidmatan AS sebagai panduan lanjut kepada dasar monetari bank pusat.
Matawang Eropah didagangkan lebih tinggi, dengan euro kembali di atas harga 1.22000 berbanding USD.
Setelah diperlihatkan dengan laporan sentimen ekonomi dari tinjauan ZEW dan Ifo Jerman yang tinggi, pelabur kini menjangkakan data PMI yang bakal diterbitkan petang nanti mencatatkan bacaan lebih kuat.
Matawang pound turut menguat di sekitar paras ketinggian hampir tiga bulan berbanding US dolar di tengah-tengah jangkaan bahawa kegiatan ekonomi di UK akan terus menunjukkan peningkatan ketika lebih banyak sekatan coronavirus diangkat semula.
Sekiranya bacaan yang dicatatkan lebih kuat dari jangkaan, ia akan meningkatkan lagi prospek untuk UK keluar daripada sekatan coronavirus sepenuhnya pada 21 Jun seperti yang dirancangkan sebelum ini oleh kerajaan.
Sementara itu, dolar Kanada kembali meraih pengukuhan menuju ke tahap tertinggi 6 tahun berbanding USD setelah diheret rendah oleh kemerosotan harga minyak mentah dunia.