Presiden Joe Biden melancarkan perincian mengenai pakej rangsangan coronavirus bernilai $1.9 trilion, dengan mengatakan pelaburan ini perlu untuk pemulihan ekonomi dan mempercepatkan pengagihan vaksin bagi mengatasi krisis pandemik.
Rancangan itu, yang juga disebut sebagai Pelan Penyelamat Amerika, merangkumi $415 bilion untuk meningkatkan tindak balas terhadap virus dan pelancaran vaksin Covid-19, kira-kira $1 trilion sebagai bantuan langsung kepada isi rumah, dan sekitar $440 bilion untuk perniagaan kecil dan masyarakat yang paling terjejas.
Cek pembayaran akan dikeluarkan dengan nilai $1,400 iaitu tambahan kepada bantuan oleh Kongres baru-baru ini. Sementara faedah pengangguran pula ditingkatkan kepada $400 seminggu dari $300 seminggu dan akan dilanjutkan sehingga September.
Selain itu, Biden juga mencadangkan kenaikan gaji minimum kepada $15 sejam, bantuan kerajaan negeri dan tempatan sebanyak $350 bilion dan $170 bilion untuk sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Bagaimanapun, rancangan Biden tidak terhenti setakat ini sahaja, malah, Presiden itu dikatakan mempunyai satu lagi pelan kedua yang akan dikemukakan kepada anggota dewan selepas pelantikannya pada 20 Januari, bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan memerangi perubahan iklim.
Para penganalisis menjangkakan pelan rangsangan Biden akan membantu pemulihan ekonomi dengan meningkatkan pekerjaan dan perbelanjaan serta sudah mula meningkatkan ramalan mereka untuk pertumbuhan ekonomi AS tahun ini.