Ucapan dari pembuat dasar Bank Pusat Eropah (ECB), Luis de Guindos menghiasi dagangan sesi Eropah, di mana beliau menjangkakan Zon Eropah akan mencapai pertumbuhan ekonomi yang kuat pada suku ketiga 2021.
Walaupun begitu, petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan dilihat kehilangan kekuatan susulan masalah kekuarangan bekalan, kos tenaga yang lebih tinggi dan halangan yang mempengaruhi pembuatan.
Apabila menyebut mengenai varian delta yang menjadi kebimbangan seluruh dunia, de Guindos memberitahu kesannya tidak seperti dijangkakan. Namun, ia masih memberi ancaman kepada kesihatan awam dan impak besar pada prospek ekonomi yang menyebabkan gangguan rantaian bekalan.
Selain itu, beliau turut mengulas mengenai inflasi dengan mengatakan bahawa harga pengguna kemungkinan akan terus meningkat pada 2 hingga 3 bulan akan datang. Masalah gangguan bekalan adalah komponen yang memberi kesan struktur pada inflasi.
Bagaimanapun, ia dijangka turun semula pada tahun depan apabila faktor-faktor yang mendorong kenaikan inflasi kembali pudar.
Tambahan daripada itu, de Guindos memberitahu bahawa bank pusat akan memutuskan alternatif program pembelian bon kecemasannya (PEPP) pada Disember jika diperlukan.
Kenyataan ini sedikit menyokong euro untuk diniagakan lebih kuat pada 1.16100 ketika sesi Eropah, selain turut dipengaruhi penyusutan yang dicatatkan US dolar.