Matawang pound didagangkan berhati-hati menjelang mesyuarat polisi Bank Pusat England (BOE) pada malam ini.
Walaupun bank pusat dijangka tidak akan mengubah kadar faedah dan program pembelian bon semasa, tetapi pernyataan dari BOE akan menjadi tumpuan utama pelabur untuk mendapatkan petunjuk untuk penetapan dasar monetari seterusnya.
Antara yang menjadi perhatian pelabur ketika ini adalah pandangan bank pusat terhadap kadar inflasi yang telah melonjak melebihi sasaran 2% BOE pada bulan lalu.
Ketua ekonomi BOE, Andy Haldane sebelum ini meluahkan kebimbangan beliau terhadap tekanan inflasi dan beliau juga menjadi satu-satunya anggota Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang menyokong pengurangan pembelian bon.
Haldane mungkin akan menyuarakan sekali lagi mengenai kebimbangannya buat kali terakhir sebelum beliau meninggalkan jawatan itu dan mesyuarat pada malam ini akan menjadi yang terakhir buatnya.
Matawang pound didagangkan sedikit rendah berbanding US dolar dengan berlegar di sekitar harga 1.39500 pada awal sesi Eropah.
Sementara itu, US dolar kekal didagangkan stabil ketika para pelabur menilai pelbagai pendapat dari pembuat dasar Federal Reserve (Fed) mengenai masa yang sesuai untuk langkah rangsangan monetari akan dikurangkan.
Penerbitan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tuntutan pengangguran AS dan ucapan beberapa orang lagi pembuat dasar Fed pada malam ini juga bakal menjadi tumpuan utama pasaran.