Dolar greenback kembali memaparkan kenaikan dari paras terendah hampir satu bulan berbanding pesaing utamanya, ketika pasaran menuju ke sesi dagangan penghujung minggu dan bulan Oktober.
Ketika penulisan, indeks dolar diniagakan meningkat pada 93.55 berbanding sekumpulan matawang utama lain. Walaupun begitu, harga masih berlegar di sekitar tahap terendah yang disentuh semalam.
Ini menyusuli peningkatan dalam hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang kembali meningkat pada tahap 1.6%.
Kekecewaan daripada data ekonomi AS yang menunjukkan bacaan yang lebih lemah daripada dijangkakan pada suku ketiga, sedikit pun tidak menggoyahkan hasil bon untuk meningkat semula berikutan jangkaan pengurangan rangsangan yang akan diumumkan bank pusat pada minggu depan.
Matawang euro pula sedikit merosot, tetapi masih mengekalkan sebahagian besar daripada keuntungan yang diraih pada Khamis dengan diperdagangkan pada 1.1650 berbanding US dolar.
Sementara matawang pound pula masih gagal mengekalkan pengukuhan di atas paras harga 1.3800 berikutan tekanan daripada isu terbaru mengenai Brexit yang menyebabkan matawang itu gagal menarik minat pelabur.
Terdapat laporan yang mengatakan Perancis telah merampas sebuah bot pukat tunda British dan mendenda satu lagi bot, di mana ia dilihat akan memburukkan lagi hubungan antara Kesatuan Eropah (EU) dan Britain.
Selain mesyuarat polisi FOMC, pertemuan dasar Bank Pusat England (BOE) pada minggu depan juga akan menjadi tumpuan pelabur yang diharapkan dapat menerima khabar baik mengenai kenaikan kadar faedah.