Permulaan pasaran menjelang hujung minggu menyaksikan dagangan dolar greenback terus bergerak perlahan di sekitar paras tertinggi 16 bulan berbanding pesaing utamanya.
Data tuntutan pengangguran AS sedikit mengecewakan pasaran dengan bacaan yang tersasar daripada jangkaan pasaran. Sebanyak 268,000 tuntutan faedah telah dibuat pada minggu lalu, berbanding jangkaan sebanyak 260,000.
Berbanding kebanyakan matawang utama, indeks dolar diniagakan sedikit meningkat pada 95.60 pada sesi Asia.
Matawang euro kembali bangkit dari paras terendah 16 bulan dengan didagangkan pada 1.3560 berbanding USD selepas merosot kepada 1.1263 pada hari Rabu, memanfaatkan peluang dari greenback yang sedang berehat.
Tumpuan pasaran akan beralih pada ucapan Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) Christine Lagarde pada sesi Eropah.
Pound pula terus mempertahankan keuntungannya dengan sokongan daripada pengukuhan data inflasi dan pekerjaan UK yang meningkatkan semula harapan pasaran untuk Bank Pusat England (BOE) menaikkan kadar faedahnya.
Data jualan runcit UK pada petang ini akan menjadi tumpuan pelabur matawang pound yang dijangka akan menunjukkan peningkatan selepas mencatatkan penguncupan pada sebelumnya.
Di sisi lain, dolar kiwi menjadi matawang G10 yang mempamerkan prestasi terbaiknya selepas tinjauan Bank Pusat New Zealand (RBNZ) menunjukkan jangkaan inflasi di negara itu meningkat ke tahap tertinggi 11 tahun pada suku keempat.
Menurut tinjauan Reuters, bank itu dijangka akan menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas lagi kepada 0.75% pada mesyuarat polisi yang akan berlangsung minggu depan.