US dolar mempertahankan keuntungan berbanding pesaing utama pada dagangan awal minggu, setelah Federal Reserve (Fed) menggemparkan pasaran minggu lalu dengan memberi isyarat pengetatan dalam dasar monetarinya.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding enam matawang utama diniagakan kukuh di sekitar 92.25, menyusuli kenaikan terbesar mingguannya sejak Mac 2020 pada minggu lalu.
Fed telah mengeluarkan unjuran optimis pada Rabu, di mana 13 daripada 18 orang ahli pembuat dasar menjangkakan kenaikan kadar faedah pada tahun 2023 berbanding hanya 6 orang sebelumnya, dengan secara median dua kenaikan kadar dilihat pada tahun 2023.
Matawang euro didagangkan di paras terendah dua setengah bulan berbanding US dolar, dengan tumpuan pasaran kini ditumpukan kepada ucapan Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde pada malam ini yang akan memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Parlimen Eropah mengenai Hal Ehwal Ekonomi dan Kewangan.
Sementara itu, matawang pound terus diniagakan suram di tahap terendah dua bulan berbanding USD, ditekan oleh kebimbangan terhadap penularan varian Delta yang mungkin akan melambatkan langkah-langkah sekatan untuk diangkat semula.
Mesyuarat polisi Bank of England (BOE) yang akan berlangsung pada hari Khamis, akan menjadi fokus utama pasaran minggu ini, selain turut diperlihatkan dengan bacaan data PMI pembuatan dan perkhidmatan dari Zon Eropah dan UK pada hari Rabu.
Di sisi lain, kekuatan dolar greenback telah membenam dolar Aussie untuk jatuh ke tahap terendah sejak Disember 2020, sementara dolar New Zealand pula tersungkur ke paras terendah sejak November 2020.