Pasaran global dinilai sedikit pulih pada awal dagangan hari ini dengan tumpuan utama pelabur masih terarah pada langkah tapering oleh Federal Reserve (Fed), rangsangan di Amerika Syarikat (AS) serta ketegangan politik yang melanda China.
Selepas data inflasi AS mencatatkan bacaan yang lemah pada minggu ini, data jualan runcit AS yang diterbitkan semalam kembali menghangatkan semula pergerakan US dolar.
US dolar kembali kukuh dengan tercetusnya kembali jangkaan untuk langkah pengetatan polisi oleh Fed pada mesyuarat dasar monetari edisi September.
Sebelum menutup dagangan pada minggu ini, data keyakinan pengguna AS akan diberi perhatian oleh pasaran di sesi New York untuk meninjau kesihatan perbelanjaan pengguna di ekonomi terbesar dunia itu.
Mata wang Eropah dilihat bergerak stabil berbanding US dolar sehingga sesi Eropah hari ini namun pelabur berwaspada risiko yang membayangi pergerakan pada penghujung minggu.
Data jualan runcit UK yang diterbitkan pada awal sesi Eropah mencatatkan bacaan lebih rendah berbanding jangkaan untuk meningkat. Ini akan merencatkan jangkaan pengukuhan Pound selepas data inflasi UK diterbitkan pada minggu ini positif menjelang mesyuarat bank pusat England (BOE) minggu hadapan.
Mata wang komoditi seperti dolar Australia, dolar New Zealand dan dolar Kanada pada hari ini dilihat pamerkan sedikit pemulihan selepas tekanan pada pengukuhan US dolar semalam.
Sementara pelabur komoditi emas masih menyerap kejutan terjunan harga emas semalam menyaksikan penyusutan nilai sehingga $50 dalam tempoh 1 hari.